Pages

Thursday, July 28, 2011

nk buat dosa

RENUNGAN BUAT KITA SEMUA :)

Perlu ke alasan untuk buat dosa???

"Aku dah usaha tinggal dah, tapi tak mampu. Nak buat macam mana"

"Tak boleh bai, aku ni lemah dengan godaan. Nafsu kuat sangat. Tu yang tak boleh tinggal benda-benda ni"

"Allah dah takdirkan aku camni. Aku nak buat camna. Dah tertulis di lauh mahfuz aku ni buat maksiat-maksiat ni. Takdir aku memang begini"

Itulah dia antara alasan yang sering didengari. Mungkin kita tidak pernah mendengarnya daripada mulut orang lain.

Tetapi kita mendengarnya daripada hati kita sendiri.

Ya. Kita memberikan alasan, untuk membenarkan kita melakukan dosa, keingkaran kepada Allah SWT.

Kita tunjukkan pada ketidak mampuan kita, kita katakan ia adalah punca godaan yang datang, malah adakalanya kita meletakkan perkara ini atas takdir Allah dan menyatakan ini semua susunan-Nya.

Inilah alasan-alasan kita.

Alasan untuk berdosa. Benarkah ia satu alasan yang melepaskan kita dari azab seksa-Nya?

Kita Yang Memilih Untuk Lemah

Dalam mengharungi kehidupan, sememangnya manusia akan bertemu dengan cabaran dan dugaan. Halangan demi halangan akan wujud untuk menguji insan.

Ujian ini adalah untuk melihat dari kalangan manusia ini, yang manakah yang terbaik amalannya, yang manakah yang layak menerima rahmat Allah dan memasuki syurga-Nya.

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);" - Surah Al-Mulk ayat 2.

Maka sudah menjadi lumrah bahawa dalam kehidupan ada ujian.

Justeru apakah alasan tidak mampu?

Hakikatnya, semua manusia mampu melepasi ujian yang Allah sediakan. Allah SWT telah berjanji bahawa, setiap ujian yang ditimpakan ke atas diri manusia itu, berada dalam lingkungan kemampuannya.

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." - Surah Al-Baqarah ayat 286.

Jadi, bagaimanakah boleh tidak mampu?

Jawapannya adalah, kita yang memilih untuk lemah. Kita yang memilih untuk tidak mengharungi cabaran dengan bersungguh-sungguh. Kita memilih untuk tidak berusaha hingga ke akhirnya.

Kita memilih untuk tunduk dan menerima kegagalan, lantas redha dengan kemaksiatan yang kita lakukan.

Perhatikan betul-betul di dalam jiwa kita. Benarkah kita tidak mampu? Atau kita yang memilih untuk tunduk kepada kerosakan?

Takdir Allahlah Yang Silap?

Menuding kepada Allah dan menyalahkan-Nya atas dosa-dosa yang kita lakukan adalah satu jenayah yang besar. Itu tandanya keimanan di dalam jiwa sudah terkoyak dan rosak.

"Kenapa Allah benarkan aku buat dosa?" Kita akan bertanya-tanya.

Tetapi siapa yang memilih untuk melakukan dosa? Siapa yang bergerak untuk melakukan dosa? Siapakah?

Kita.

Ketahuilah di dalam kehidupan ini, Allah berikan manusia satu perkara yang besar bernama IKHTIAR, pilihan, untuk manusia memilih sendiri antara yang buruk atau yang baik. Maka terletak di tangan kita untuk bergerak ke arah mana.

Dan setiap arah yang kita ambil, kita perlu sedar, ada konsikuensinya.

"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)" - Surah Al-Baqarah ayat 256.

Di zaman Umar Al-Khattab RA, ada seorang lelaki mencuri. Bila ditanya mengapa dia mencuri, lelaki itu menjawab: "Aku mencari kerana, Allah telah mentakdirkan aku mencuri"

Saidina Umar menyuruh lelaki itu dipotong tangannya, dan disebat 40 kali.

Sahabat-sahabat terkejut dengan hukuman itu. "Wahai Umar, hukum untuk mencuri hanyalah potong tangan. Mengapa ditambah dengan 40 sebatan?"

"Potong tangan untuk mencuri, dan 40 sebatan adalah untuk tuduhannya ke atas Allah SWT"

Ini adalah dalil yang jelas bahawa, kesalahan kita adalah tanggungjawab kita sendiri.

Lelaki itu, boleh sahaja memilih untuk tidak mencuri. Allah memberikannya ikhtiar. Tetapi dia memilih untuk ingkar kepada Allah SWT dan melakukan kejahatan dengan sengaja.

Dan siapa yang mengetahui takdir Allah?

Tiada siapa mengetahui.

Justeru, bagaimana alasan bahawa: "Allah dah takdirkan aku macam gini, jadi orang jahat" itu boleh dipakai?

Pengajaran Pembunuh 100 Orang

Saya suka dengan kisah pembunuh 100 orang. Dia telah membunuh 99 orang. Kemudian dia hendak bertaubat.

Lihatlah. Dia telah membunuh 99 orang. Tidak pula dia menyalahkan Allah SWT atas tindakannya membunuh 99 orang itu.

Bahkan, dia bergerak pula hendak bertaubat kepada Allah SWT. Lihat usahanya itu. Lihat kehendaknya itu.

Sampai kepada seorang alim, alim itu berkata bahawa, orang sepertinya tiada harapan. Oleh kerana marah, dia membunuh pula orang itu, mencukupkan pembunuhannya kepada 100. Tetapi selepas itu, dia mencari lagi jalan untuk bertaubat.

Lihat. Walaupun seorang alim menyatakan kepadanya bahawa dia telah tiada harapan, dia tetap berusaha. Lihatlah kepada dia ini. Adakah dia berkata: "Memang Allah dah takdirkan aku begini"???

Akhirnya, dia bertemu dengan seorang lagi alim. Dan orang alim itu berkata bahawa lelaki itu perlu meninggalkan suasana yang tidak membina. Maka ditunjukkan satu perkampungan yang boleh memberikannya suasana untuk bertaubat.

Maka bergeraklah lelaki itu. Tetapi di tengah perjalanan, dia meninggal dunia. Meninggal dunai tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang berusaha untuk bertaubat.

Dan dia dimasukkan ke dalam syurga. Kisah ini boleh didapati dalam Sohih Muslim dalam bab Taubat.

Lihatlah bagaimana Allah membalas usahanya. Dia tidak sempat pun bertaubat.

Tetapi dia tidak berputus asa untuk menebus dosanya. Dia tidak berputus asa mencari jalan keluar.

Dia berusaha dan berusaha tanpa menuding jari kepada itu dan ini. Dia tidak pula memberikan alasan bahawa takdir tidak menyebelahinya dan dirinya sudah ketagih, tidak berkemampuan dan sebagainya.

Tetapi dia berusaha. Dia menggagahkan dirinya. Dia berusaha merapat kepada Allah SWT. Dia tidak memilih untuk lemah. Dia tidak memilih untuk semakin jauh daripada Allah.

Lihatlah dia.

Penutup: Pandanglah Kepada Diri. Diri Itu Yang Perlu Diperbaiki

Pokoknya, ketidak mampuan kita bukan alasan. Allah juga tidak pernah bersalah dalam hal ini. Tetapi diri sendirilah yang perlu dipersalahkan.

Mengapa memilih jalan sedemikian? Mengapa tidak berusaha sehingga habis hayat?

Mengapa tidak bergerak mendekati Allah dengan sepenuh kekuatan? Soalan-soalan ini perlu dilontarkan kepada dalam diri kita.

Perhatikan diri kita.

Yang bersalah hakikatnya adalah kita.

Kita yang memilih jalan kefasadan.

Dan siapa kata kita tidak boleh keluar?

Allah kah kata? Adakah kita mengetahui?

Hakikatnya, kita yang memilih untuk terus kekal dalam kerosakan.

Justeru, siapa yang memilih untuk keluar?

: : credit to CHL : : ^.^

p/s :: syukran kpd sahabat yg bertanye soklan yg amat susah smlm.. soklan 2 mmbuatkn aku bermuhasabah semula..

Monday, July 25, 2011

Adab Terhadap Diri Sendiri

Kaum muslimin percaya bahwa kebahagian di dunia dan akhirat bergantung pada perilaku dan adab terhadap diri sendiri dan pada kesucian serta kebersihan jiwa. Begitu juga dengan kesengsaraan disebabkan kerosakan dan kekotoran jiwa hal ini nyata dalam firman Allah :

“ Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya” [Asy-Syam;9-10]

Rasullullah bersabda :

“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bila melakukan sesuatu dosa terjadilah bintik hitam dalam hatinya. Bila dia bertaubat dan menghentikan dosanya dan mencela perbuatannya, hatinya akan bersinar kembali, dan apabila dosanya bertambah, akan bertambah pula bintik hitam itu hingga hatinya akan tertutup….”
( Nasa’i dan Tarmizi, hadis hasan sahih)

Oleh yang demikian kaum muslim haruslah berusaha menjaga dirinya dengan membersih dan menyucikan jiwanya. Kerana jiwa yang suci dan bersih dapat menjauhkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk dan boleh merosakkan. Beberapa langkah yang perlu di lalui untuk mencapai kesucian jiwa iaitu :

a. Taubat

Taubat yang bermaksud menyucikan diri dari dosa dan maksiat, menyesali segala dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak mengulangi. Seperti firman Allah yang bermaksud:

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang seikhlas-ikhlasnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….” 
[at-Tahrim;8]

Dan sabda Rasullullah :

“ Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari seratus kali ”( Muslim )

b. Muraqabah ( Pengawasan )
Umat Islam sentiasa merasakan setiap perbuatan dan pergerakan diawasi oleh Allah. Sehingga mereka yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan dan megetahui segala yang nyata mahupun tersembunyi.Dengan keyakinan itulah manusia merasakan jiwanya tenang mengingati Allah dan puas mendampingiNYA. Ia di nyatakan dalam firman Allah :

“ Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan .....” [an-Nisa;125]

Rasullullah juga bersabda :

” Beribadahlah kamu kepada Allah seperti kamu melihat-NYA, apabila kamu tidak melihat Allah, sesungguhnya Dia melihatmu ......” (Muttafaq ’alaih)

c. Muhasabah
Melakukan perhitungan terhadap diri sendiri di atas apa yang telah dilakukan demi mengecapi kebahagian di dunia dan akhirat. Sentiasa membuat perhitungan dengan apa yang telah dilakukan. Andainya apa yang dilakukan adalah perkara-perkara yang dilarang, maka mestilah segera beristigfar menyesali perbuatan dan segera bertaubat dan membuat kebaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan muhassabah terhadap diri sendiri.Ianya satu cara memperbaiki, mendidik, menyuci dan membersihkan diri

Allah berfirman :

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ” [al-Hasyr;18]

d. Mujahadah (Berjuang Melawan Hawa Nafsu)
Hawa Nafsu adalah musuh yang paling besar bagi setiap individu Islam. Hawa nafsu hanya cenderung untuk melakukan kejahatan dan menjauhi kebaikan.

Allah telah berfirman :

“ Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.....”[Yusuf;53]

Sebagai umat Islam seharusnya kita berjuang untuk melawan hawa nafsu jangan sampai ianya menguasai diri kita. Didiklah nafsu agar tenang dan tenteram serta suci dan bersih. Allah berfirman :

“ Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” [al-Ankabut;69]

Sebagai umat Islam kita mestilah sentiasa berjuang di jalan Allah demi memastikan nafsu terkawal, baik, bersih, suci dan tenteram serta memperolehi kemuliaan dan keredhaan dari Allah S.W.T.
wallahu'alam...


: : credit to CheNta HAty LaRa : : mekasih CHL ^.^

Tuesday, July 19, 2011

solat istikharah

Ustaz Sazli al-Ansari

Kaifiat solat Istikharah:
  1. Puasa 3 hari @ seminggu @ sebulan
  2. Qiammullail
  3. Istiqamah dengan al-Quran
  4. solat Istikharah
Tujuan puasa, qiam, dan membaca al-Quran adalah untuk menyucikan fikiran kita dari dipengaruhi nafsu dan agar tidak "berat sebelah" ketika solat istikharah dilaksanakan. 

Sewaktu solat dilaksanakan, jangan difikirkan sesuatu yang kita mahu diantara pilihan-pilihan yang ada dan solat istikharah bukanlah untuk memohon agar Allah bersetuju dengan pilihan kita tetapi agar Allah memberi petunjuk pilihan terbaik untuk diri kita.

Setelah selesai solat, yakinlah dengan ketentuan Allah. Jika petunjuk Allah itu bukanlah pilihan kita, yakinlah dengan Allah. Allah merancang, manusia juga merancang. Ketahuilah Allah ialah sebaik-baik perancang. Setiap ketentuan Allah itu ada hikmah. Walaupun pahit, tetapi amat bermakna buat diri kita. 
Wallahu'alam

Friday, July 15, 2011

hikmah 56

Ustaz Sazli al-Ansari
Tasawwuf
Syarah al-Hikam
Hikmah 56: Jangan Merasa Gembira Atas Perbuatan Taat

"Jangan berasa gembira atas perbuatan taat (bakti) kerana kamu berasa telah dapat melaksanakannya, tetapi bergembiralah atas perbuatan taat itu kerana ia sebagai kurnia taufik, hidayah daripada Allah kepadamu. Katakanlah: Kerana berasa mendapat kurnia dan rahmat Allah, mereka harus gembira. Itulah yang lebih baik daripada yang dapat mereka kumpulkan"


Mengingatkan kurniaan Allah SWT dalam apa jua bentuk ketaatan kepadaNya menjadikan seseorang itu benar-benar berada di atas landasan kebenaran yang mengikut syariat.

Kita sepatutnya gembira jika kita merasakan ketaatan kita kepada Allah itu datang daripada Allah. Bukan gembira kita taat kepada Allah kerana diri kita. Ulama tasawwuf menganggap hal ini sebagai kufur nikmat, iaitu nikmat kesempatan dan peluang yang telah dikurniakan oleh Allah untuk kita berbuat taat kepadaNya.

Syeikh Zarruq membahagikan gembira kepada 3:

  1. Diharap pahala atau takut balasan
  2. Wujud dan gembira daripadaNya untuk pembersihan diri
  3. Gembira sebab ada jalinan kasih sayang dengan Allah
Ibn 'Abbas r.a. berkata: "Fadlullah atau kurniaanNya bermaksud al-Quran, dan rahmatNya bermaksud Islam. Dengan makna lain, hendaklah mereka gembira dengan apa yang didatangkan daripada Allah SWT, al-Quran dan Islam. Sesungguhnya mereka seharusnya lebih gembira dengan kurniaan ini."

Syeikh Zarruq mentafsirkan dengan katanya: "Janganlah kamu gembira kecuali dengan kurniaan Allah SWT kerana Dia yang mengurniakanmu dan mengingatkanmu akan kurniaanNya terhadap apa-apa yang kamu kuasai. Bukan kamu mengumpulkannya sebagai koleksi faedah dengan kurniaan itu. Hal ini kerana bergembira dengannya sahaja. Sebenarnya itulah kelalaian tetapi hendaklah bergembira dengan kurniaan Allah SWT.

Konklusi hikmah yang dipelajari ini ialah kita sepatutnya seronok Allah SWT beri peluang berbuat taat kepada Allah dan bukannya seronok berbuat taat kepada Allah. Wallahu'alam...

Thursday, July 14, 2011

hikmah 50

Ustaz Syazli al-Ansari
tasawwuf
Syarah al-Hikam
Hikmah 50: Tidak Ada Dosa Kecil Apabila Berhadapan Dengan KeadilanNya

"Tidak ada dosa kecil apabila engkau berhadapan dengan keadilanNya, dan tidak beerti dosa besar berhadapan dengan kurniaanNya"

"Tidak ada dosa kecil apabila engkau berhadapan dengan keadilanNya" bermaksud walaupun dosa yang kita lakukan itu kecil, Allah tetap memberi balasan yang setimpal kerana Allah itu Maha Adil. Jangan sesekali kita fikir bahawa dosa kecil yang kita lakukan tidak memdapat apa-apa balasan.

"Tidak beerti dosa besar berhadapan dengan kurniaanNya" bermaksud walaupun dosa yang kita lakukan itu merupakan dosa besar, tetapi ketahuilah bahawa Allah itu Maha Kaya dan Maha Pengampun. Hal ini telah dibincangkan dalam hikmah 49

"Sekiranya mereka mendapat kurniaanNya nescaya tiada lagi bagi mereka sebarang kejahatan, dan sekiranya keadilanNya ditegakkan atas mereka, nescaya tidak kekal bagi mereka kebaikan"

Inilah hakikat tauhid yang sebenarnya. Perhambaan yang dilakukan oleh hamba Allah sekalipun penuh dengan ketaatan, tidak mungkin dapat dibandingkan dengan kurniaan Allah, dan sudah tentu tidak setimpal.

Allah berfirman:
نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ {49}وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ الْعَذَابُ الْأَلِيمُ{50}

Khabarkanlah kepada hamba-hamba Ku bahawa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan bahawa sesungguhnya azabKu adalah azab yang sangat pedih

Abu Hayyan berkata mengenai ayat diatas bahawa betapa penyayangnya Allah kerana disebutnya "sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" sebelum "sesungguhnya azabKu adalah azab yang sangat pedih"semua ini membuktikan bahawa Allah lebih suka memberi keampunan dan rahmat berbanding dengan azab.

"Ya Allah, jadikanlah segala kejahatan kami, kejahatan orang yang Engkau kasihi, dan jangan jadikan kebaikan kami kebaikan orang yang Engkau murkai"

Hak ini kerana, Ihsan tidak bermanfaat sekiranya bersama dengan kemarahan Allah, dan kejahatan tidak memberi mudarat apabila bersama kasih sayang Allah. 

wallau'alam....

Wednesday, July 13, 2011

hikmah 49

Ustaz Sazli al-Ansari
Tasawwuf
Syarah al-Hikam
hikmah 49: Jangan Sampai Terasa Besarnya Dosa sebagai Penghalang

"Jangan sampai kamu terasa besarnya dosa itu hingga merintangi engkau daripada husnu al-zhon (baik sangka) terhadap Allah SWT, maka dia akan menganggap kecil dosanya itu di samping luasnya kemurahan Allah"


Sewajarnya kita berharap kepada Allah dengan sepenuh hati kerana Allah Maha Kaya dari yang kaya-kaya dan suka kepada hambaNya yang meminta kepadaNya. Sebesar mana pun dosa kita kepada Allah, ketahuilah bahawa keampunan Allah lebih besar. sentiasalah bersangka baik dengan Allah.

Jika kita berada di dalam kesusahan, bacalah surah al-Inshirah untuk mendapat kemudahan. Tetapi tetapkan niat bahawa bukan surah itu yang memberi kemudahan kepada kita, tetapi Allah yang mengurniakan segala bentuk kemudahan kepada kita. Surah al-Inshirah itu hanyalah berfungsi sebagai "penyambung" kita dengan Allah.



أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ(1) وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَك(2) الَّذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ(3) وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ(4) فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا(5) إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا(6) فَإِذَا فَرَغْتَ  فَانْصَبْ(7) وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَبْ(8

Manusia dalam perkara takut dan berharap terbahagi kepada 3 golongan:
  • Ahli permulaan: melebihi perasaan takut daripada mengharap kepada Allah
  • Ahli pertengahan: menyamakan perasaan takut dan mengharap
  • Ahli yang sampai: melebihkan pengharapan
Apa yang dimaksudkan dengan takut dan mengharap ialah ketika seseorang itu berdoa untuk memohon ampun daripada Allah, seseorang itu berdoa dengan perasaan takut taubatnya deterima ataupun dia berdoa dengan mengharap agar dosanya diampunkan. Jika seseorang itu berdoa dengan penuh pengharapan, bermakna dia telah bersangka baik kepada Allah dan yakin kepada kemurahanNya.

Kata ulama: "Sesungguhnya taat bila kamu rasa kecil, ia adalah besar di sisi Allah SWT, dan maksiat bila kamu merasakan besar, ia adalah kecil di sisi Allah SWT"

akhir kalam, "Lima keadaan dosa yang lebih besar daripada melakukan dosa, iaitu mengagung-agungkan dosa lebih besar daripada melakukan dosa; memperkecilkan dosa lebih besar daripada melakukan dosa; bertekad melakukan dosa lebih besar daripada melakukan dosa; melakukan dosa secara terang lebih besar daripada melakukan dosa, dan berani melakukan dosa lebih besar daripada melakukan dosa."




p/s : kalau x phm ape2, tanye jela.. sebab ni ilmu tasawwuf.. kalau salah phm bahaye~

Tuesday, July 12, 2011

hikmah 48

Ustaz Syazli al-Ansari
Tasawwuf
Syarah al-Hikam
hikmah 48: Sebahagian tanda matinya hati

"Sebahagian tanda matinya hati ialah jika tidak merasa sedih (susah) kerana tertinggalnya suatu amal kebaikan (kewajiban) juga tidak menyesal jika terjadi sesuatu pelanggaran dosa"


Jika hati kita hidup, kita akan berasa resah dengan maksiat yang telah kita lakukan dan berasa tenang dan lazat dengan ketaatan kita kepada Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang berasa gembira dengan kebaikannya dan merasa susah hati dengan kejahatannya, maka dialah orang Mukmin.


Jadi, mukminkah kita sekarang ini? sudah tercapaikah perkara yang telah Rasulullah sebutkan?

Ibn Mas'ud berkata, "Orang Mukmin melihat dosa dirinya seumpama dia berada di bawah bukit yang akan menghempapnya, manakala orang munafik melihat dosanya seumpama lalat yang hinggap di atas hidungnya, maka dia menepisnya dengan tangan lalu terbanglah lalat tersebut"


salah satu cara untuk memastikan hati kita sentiasa hidup adalah dengan berzikir, iaitu mengingati Allah. Dengan zikir, hati kita hidup. Apabila kita tidak berzikir atau mengingati Allah, hati kita akan lalai. pada saat itu hati kita mengalami saat² kematian. Apabila kita terus lalai, sehingga lalai itu pecah, seseorang itu akan menyalahkan Allah.

Lalai yang berterusan ini diibaratkan seperti seorang tua yang dipotong kakinya kerana menghidap sakit kencing manis. Ditanyakan kepadanya apa punca kakinya dipotong. Katanya, dia amat minat minum kopi. Dalam sehari, 3 kali dia akan minum kopi; pagi, petang, malam. Adakah kerana dia minum kopi semalam, dia dipotong kaki? adakah kerana dia minum kopi minggu ini dia dipotong kaki? Sudah semestinya tidak. orang tua itu minum kopi sejak dia remaja. sudah lebih 25 tahun dia minum kopi. Oleh kerana terlalu banyak makan gula, dia menghidap kencing manis.


Begitulah lalai diumpamakan. Bukan kerana semalam kita lalai, hati kita telah mati. tetapi hati kita telah lama lalai mengingatiNya. Lama kelamaan, lalai itu akan menyebabkan kita lupa bahawa hidup kita ini sebenarnya telah diatur dan dirancang oleh Allah swt.

Sedikit panduan untuk menghidupkan kembali hati yang dalam kematian:
> hidup dalam suasana yang soleh
> bergaul bersama-sama dengan orang yang soleh/solehah
> sentiasa mencari ilmu agama
> istiqamah berbuat baik
> sentiasa berzikir kepada Allah


p/s : sori lmbt share.. bz sikit cuti ni.. huhu.. x balek rumah lg nih.. T.T

Saturday, July 9, 2011

Alhamdulillah ^.^

done learning new things
lot of things to share
some change my perspective about something
some make me remember about old thing
some make my heartbeat faster
some make me feels bad, small
but.. all the things I learnt, change the way I do all things in my life

wait for it!!
I will share it with you ^.^