Pages

Saturday, November 12, 2011

10 Amalan Terbalik

marilah kita bermuhasabah dan menilai kembali amalan seharian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang sepatutnya dilakukan dan yang dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau lalai dengan budaya. Antara amalan terbalik yang sering dilakukan:-


  1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas beberapa kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang telah dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyediakan makanan dan belanja untuk mereka yang hadir membaca tahlil. Tidakkah mereka risau kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati?
  2. Jika hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tiada duit, maka malu nak pergi ke kenduri. Tetapi kalau menziarahi orang mati pula tidak segan jika angan tidak berisikan wang. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah.
  3. Ketika menghadiri majlis tertentu kita berpakaian cantik dan kemas. Tetapi apabila mengadap Allah baik di rumah mahupun masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tidak berbaju. Tidakkah itu satu perbuatan yang terbalik?
  4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai tidak habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan apa yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
  5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tetapi kalau di rumah , sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjrkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk mengelakkan rasa riak.
  6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun.
  7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?
  8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walaupun perlu berbelanja besar. Tapi kalau anak tak boleh baca al-Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar ke tuisyen baca al-Quran atau kelas khas mempelajari Islam.
  9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tetapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak pergi. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tetapi nak ke rumahNya segan dan malas.
  10. Seorang isteri nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masya-Allah. Sedangkan yang dituntut ke atas seorang isteri itu ialah berhias untuk suaminya, bukannya untuk orang lain. Perbuatan terbalik inilah yang membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agaar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Wallahua'lam

No comments: